Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Pematuhan Peniaga sempena sambutan Thaipusam 2026 di sekitar Kuil Batu Caves bagi memastikan pematuhan terhadap aspek pelesenan, kebersihan, keselamatan serta perundangan sentiasa dipatuhi oleh para peniaga.
Operasi ini melibatkan kerjasama Jabatan Pelesenan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak dan Pejabat KPDN Cawangan Gombak bagi memastikan pelaksanaan operasi berjalan lancar dan berkesan.
Jabatan Pelesenan telah memeriksa 37 premis perniagaan dengan pengeluaran tiga (3) Notis Pematuhan Syarat Lesen dan Permit Perniagaan. Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan pula telah mengeluarkan tiga (3) Notis Kacau Ganggu melibatkan ketidakpatuhan kebersihan dan pengendalian makanan.
Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen, menjaja tanpa lesen, gagal mempamerkan lesen, kesalahan iklan serta ketidakpatuhan penggunaan bahasa kebangsaan.
Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak dan Pejabat KPDN Cawangan Gombak, Selangor turut menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan melibatkan aspek kebersihan premis makanan serta pemantauan alat timbang dan sukat, dengan pengeluaran notis dan kompaun mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
MPS akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan urusan perniagaan berjalan secara teratur serta mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang Thaipusam berlangsung demi keselamatan dan kesejahteraan orang awam.