Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulan Januari dan Amanat Tahun Baharu 2026 yang berlangsung di Lobi Menara MPS. Majlis dimulakan dengan tayangan video sorotan momen perhimpunan bulanan MPS sepanjang tahun 2025 yang memaparkan pencapaian serta komitmen warga kerja MPS dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
Dalam ucapan amanat Tahun Baharu 2026, YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua MPS menzahirkan rasa bangga atas pencapaian yang telah diraih oleh MPS sepanjang tahun lalu serta menyeru seluruh warga MPS agar terus memperkukuhkan budaya kerja berintegriti, berprestasi tinggi dan berorientasikan perkhidmatan berkualiti.
Majlis diteruskan dengan sesi Lafaz Ikrar Bebas Rasuah serta sesi menandatangani dokumen ikrar bebas rasuah oleh Yang Dipertua MPS, diiringi oleh YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS dan Tuan PPj Azuan bin Adzhar, Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Negeri Selangor, sebagai simbol komitmen berterusan MPS dalam memerangi rasuah dan mengamalkan tadbir urus yang telus.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Sahabat Integriti MPS, diikuti penyampaian sijil penghargaan bagi Penilaian Kepuasan Pelanggan SISPA-MPS Tahun 2025 serta penghargaan atas kejayaan MPS memperolehi pencapaian 5 Bintang Anugerah Pentadbiran Pejabat Cemerlang (APPC) 2025.
Majlis turut meraikan para pemenang melalui penyampaian hadiah Pertandingan Premis Makanan Bersih dan Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) Peringkat Zon 12 MPS Tahun 2025 sebagai galakan berterusan ke arah persekitaran yang bersih dan selesa.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. Tuan Ts. Hairuddin bin Daud, Penolong Setiausaha MPS, barisan Ahli Majlis, pengarah-pengarah jabatan serta warga kerja Majlis Perbandaran Selayang.