Majlis Perhimpunan Bulan Februari dan Mac 2026 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan bertempat di Lobi Menara MPS.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan amanat oleh Yang Dipertua MPS, Tuan Shahman bin Jalaludin yang menekankan komitmen berterusan seluruh warga kerja dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Seterusnya, sesi pengenalan Ahli Majlis MPS bagi penggal 2026–2027 telah diadakan melibatkan seramai 24 orang Ahli Majlis, terdiri daripada 15 lantikan semula dan 9 lantikan baharu.
Majlis turut menyaksikan Pra Peluncuran Buku Pelan Strategik MPS 2026–2030 serta Peluncuran Buku Dasar Sewaan Gerai MPS sebagai panduan rasmi dalam merangka hala tuju organisasi dan memperkemas dasar pengurusan sewaan gerai di bawah pentadbiran MPS.
Penghargaan turut diberikan kepada Pasukan Paintball MPS yang berjaya meraih tempat keempat dalam Kejohanan Jerantut Open Paintball Cup 2026. Turut diraikan ialah seorang kakitangan MPS yang mewakili Pasukan Ragbi Wanita Malaysia dan berjaya menjuarai SEA Women’s 15s Championship 2026.
Selain itu, ANULAE Cawangan MPS telah menyampaikan sumbangan “Kami Prihatin” sempena Hari Raya Aidilfitri, manakala Kelab Sukan dan Kebajikan (KSDK) MPS turut menyampaikan bingkisan cenderahati Aidilfitri kepada kakitangan MPS.
Majlis turut dihadiri oleh YDH Dato’ Ir. Hj Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak merangkap Orang Besar Daerah Gombak; YBrs. Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS; Puan Ruzaini Sohot, Pengerusi ANULAE Cawangan MPS; Dr. Mohd Zikry bin Zulkifle, Presiden KSDK MPS; Ahli Majlis, Pengarah Jabatan serta kakitangan MPS.