Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Landskap dengan kerjasama DUN Taman Templer telah menganjurkan Majlis Perasmian Taman Rakyat MADANI Selangor yang berlangsung di Laman BBS, Bandar Baru Selayang.
Majlis telah disempurnakan oleh YB Puan Anfaal binti Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Taman Templer. Turut mengiringi beliau bagi gimik perasmian melalui simbolik menandatangani poster ialah YB Tuan William Leong Jee Keen, Ahli Parlimen Selayang bersama YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang.
Pembangunan Taman Rakyat MADANI Selangor menyediakan sebuah hab rekreasi komuniti yang dilengkapi dengan trek riadah, gelanggang berbumbung bola jaring, bola tampar dan futsal, tandas awam serta laman interaktif bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat. Taman ini turut dilengkapi dengan komponen bandar pintar iaitu sebuah Smart Bin dan sebuah Panic Button bagi meningkatkan aspek kebersihan, keselamatan serta keselesaan pengunjung. Kemudahan-kemudahan ini bukan sahaja menyediakan ruang rekreasi yang kondusif, malah menggalakkan interaksi sosial dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk Bandar Baru Selayang dan kawasan sekitarnya. Seusai majlis perasmian, para tetamu kehormat turut mengadakan sesi walkabout bagi meninjau kemudahan yang disediakan di sekitar taman tersebut.
Bagi memeriahkan program, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya sukan rakyat, pickleball dan pertandingan bola jaring shootout yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis MPS, Tuan LAr. Mokhtar Affandi bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Landskap MPS, barisan pengarah jabatan MPS serta ketua-ketua dan wakil-wakil jabatan serta agensi.