Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak telah menganjurkan Karnival Al-Quran & Kesenian Islam Peringkat Daerah Gombak 2026 yang julung kali diadakan, melibatkan penyertaan dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Tua serta pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Daerah Gombak.
Saringan acara telah berlangsung pada 1 dan 2 April 2026, manakala peringkat akhir diadakan pada 16 April 2026. Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, diiringi YBrs. Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS dan YBrs. Tuan Haji Zainal bin Ismail, Pegawai Pendidikan Daerah Gombak.
Sebanyak lima acara telah dipertandingkan iaitu tilawah Al-Quran, hafazan, tahfiz Al-Quran, tulisan khat dan nasyid melibatkan kategori warga emas, sekolah rendah dan sekolah menengah. Para pemenang membawa pulang wang tunai, trofi, hamper dan sijil.
Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh para juara pertandingan nasyid Karnival Al-Quran & Kesenian Islam Peringkat Daerah Gombak 2026.
Bagi keputusan keseluruhan, Sekolah Kebangsaan Taman Selaseh telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori sekolah rendah, manakala Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang muncul sebagai juara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang atas pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. Tuan Mohammad Azli bin Ab Rahman, Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Gombak; YBrs. Tuan Ismail bin Jaapar, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Adab & Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor; YDH Datin Azura binti Abd Aziz, Pengetua SMK Hillcrest; YDH Puan Hazimah binti Hassan, Guru Besar SK Taman Seri Gombak 2; Ahli-Ahli Majlis MPS serta barisan Pengarah Jabatan MPS.