Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor telah berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.
Tuan Shahman bin Jalaludin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hadir bersama Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Timbalan Yang Dipertua MPS serta pengarah jabatan, ahli majlis dan pegawai MPS. Turut hadir pada majlis amanat ini ialah YB Tuan Lau Weng San, Speaker Dewan Negeri Selangor; YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi; EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan, YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; YB Dato’ Salim bin Soib @ Hamid, Penasihat Undang-undang Negeri; serta YB Dato’ Dr. Haniff bin Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri.
Dalam amanatnya, YAB Dato’ Menteri Besar menegaskan bahawa memasuki tahun 2026, seluruh jentera pentadbiran negeri tidak boleh lagi beroperasi dengan budaya business as usual. Beliau menekankan fokus kerajaan negeri yang jelas iaitu meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan setiap urusan dipermudah dan dipercepatkan selaras dengan keperluan semasa.
YAB Dato’ Menteri Besar turut mengingatkan penjawat awam agar mengamalkan nilai rendah diri dan integriti melalui prinsip “resmi padi, semakin berisi semakin tunduk”. Beliau menegaskan bahawa hasil kerja harus menjadi keutamaan “let our work do the talking” serta menyeru supaya amanah dilaksanakan dengan sifat tulus, ikhlas dan jujur, “without fear or favour”, demi kepentingan rakyat dan negeri Selangor yang tercinta.
Pada majlis tersebut, YAB Dato’ Menteri Besar turut melancarkan Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor 2026–2030, Sistem Aplikasi KitaSelangor Penyayang (AKSES), serta Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC) 2025.
Majlis turut disertai penyerahan insentif penghargaan kepada jabatan dan pejabat pemungut hasil atas pencapaian kutipan hasil tahun 2025.