Majlis Perbandaran Selayang telah menganjurkan Lawatan Teknikal ke Gua Gelap, Batu Caves dengan kerjasama Malaysia Nature Society (MNS) dan Tourism Selangor selaku Badan Pengurusan Gombak-Hulu Langat Geopark (GHLGp) sebagai persediaan menghadapi Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat Geopark Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 30 Oktober 2026. Program ini bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan tapak dari aspek interpretasi, pemuliharaan, pengurusan dan penyelarasan berada pada tahap terbaik.
Lawatan ini telah disertai oleh pelbagai agensi dan rakan strategik, antaranya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor/Wilayah Persekutuan, Malaysian Cave and Karst Conservacy (MCKC), Persatuan Kumpulan Kerja Kars dan Gua, PLANMalaysia Selangor, wakil Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves serta pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Penyertaan semua pihak mencerminkan komitmen dan kerjasama strategik dalam memperkukuh usaha pemuliharaan, pemeliharaan serta pembangunan lestari Gombak-Hulu Langat Geopark.
Majlis Perbandaran Selayang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan rakan strategik yang telah memberikan komitmen serta kerjasama dalam menjayakan lawatan teknikal ini. Semoga usaha bersepadu ini terus memperkukuh kesiapsiagaan Gombak-Hulu Langat Geopark bagi menghadapi Penilaian Semula Geopark Kebangsaan dan seterusnya mengekalkan pengiktirafan sebagai sebuah geopark yang berkualiti, mampan dan berdaya saing.