Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima lawatan penilaian teknikal berhubung pelaksanaan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (KPKA) berkaitan Garis Panduan Perangkap Minyak di premis makanan bagi kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2026.
Lawatan ini melibatkan wakil daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) yang telah diberikan taklimat awal berkaitan Seri Selera Sungai Pusu oleh Ketua Unit Kawalan Mutu Makanan dan Sanitasi, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan (JPSPK), iaitu Puan Siti Aisyah binti Borhannordin. Program ini turut disertai oleh beberapa jabatan dan bahagian berkaitan termasuk Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan (JPSPK), Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan serta Bahagian Pengurusan Projek dan Fasiliti.
Seterusnya, sesi lawatan tapak dan pemeriksaan telah dijalankan di Seri Selera Sungai Pusu yang melibatkan peniaga-peniaga makanan di kawasan tersebut. Taklimat berkaitan garis panduan penggunaan perangkap minyak telah disampaikan oleh Cik Raihani, wakil daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT). Pemeriksaan tertumpu kepada aspek penggunaan perangkap minyak serta sistem komunal yang melibatkan enam (6) buah premis makanan.
Program ini diakhiri dengan majlis penutup yang telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan (JPSPK), Tuan Ts. Hairudin bin Daud. Pelaksanaan program ini diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan dan kesedaran dalam kalangan peniaga makanan terhadap kepentingan penggunaan perangkap minyak demi menjaga kebersihan persekitaran serta kelestarian alam sekitar.