Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengadakan kunjungan hormat dan lawatan penanda aras ke Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melibatkan seramai 13 orang deligasi MPS yang diketuai oleh Tuan Ir. Haji Shaiful Nor Aidil bin Mohd Jaya, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPS.
Lawatan ini turut dihadiri wakil daripada Jabatan Perancang dan Jabatan Teknologi Maklumat MPS. Kehadiran delegasi ini telah disambut oleh YBrs. Tuan LSr. Jamil Faisal bin Yusoff, Pengarah Ukur Bahagian (Pangkalan Data Geospatial Negara), JUPEM.
Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mendapatkan pendedahan secara langsung berkaitan penggunaan serta keupayaan aplikasi MyGeoServe dalam perkongsian data imej satelit di samping memahami dengan lebih mendalam kaedah pengurusan, pemprosesan dan penyampaian data geospatial yang dilaksanakan oleh pihak JUPEM.
Selain itu, sesi ini turut menjadi platform perkongsian pandangan dan pengalaman antara kedua-dua agensi dalam usaha memperkukuh penggunaan data spatial bagi tujuan perancangan, pemantauan dan pembangunan.
Melalui lawatan ini, MPS turut meneroka peluang kerjasama strategik yang berpotensi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam khususnya dalam aspek pengurusan data geospatial yang lebih sistematik, bersepadu dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara MPS dan JUPEM serta menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan melalui penggunaan data geospatial yang lebih efektif, selaras dengan keperluan pembangunan bandar yang mampan, berdaya saing serta menuju Bandar Pintar MPS 2030.