Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sg. Tua telah menerima lawatan penanda aras daripada delegasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diketuai oleh YBrs. Encik Shahrin bin Ahmad, Pengarah Pembangunan Komuniti MBSA.
Delegasi tersebut telah disambut oleh YBrs. Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPS. Lawatan ini bertujuan meninjau pengurusan dan pelaksanaan aktiviti harian warga emas di PAWE Sg. Tua sebagai rujukan bagi perancangan penubuhan pusat jagaan harian atau transit oleh pihak MBSA.
Sesi lawatan turut diisi dengan penerangan berkaitan pengoperasian pusat serta program dan aktiviti yang dilaksanakan di PAWE Sg. Tua sebagai perkongsian kepada delegasi MBSA. Pusat jagaan harian atau transit yang dirancang oleh MBSA bertujuan menyediakan ruang penjagaan dan aktiviti harian yang bermanfaat kepada warga emas, di samping membantu meningkatkan kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial golongan tersebut.
Diharapkan perkongsian ilmu, pengalaman serta amalan yang dilaksanakan oleh MPS dalam menguruskan pengoperasian PAWE Sg. Tua dapat memberikan input dan panduan yang bermanfaat kepada pihak MBSA dalam merancang serta menyediakan kemudahan dan program yang menyokong kesejahteraan golongan warga emas. Lawatan ini juga menjadi platform yang baik untuk memperkukuh jaringan kerjasama serta pertukaran pengetahuan antara kedua-dua pihak.