Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima kunjungan rasmi daripada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) bagi sesi Lawatan Penanda Aras Penguatkuasaan Prosedur Sitaan Cukai Taksiran, Lelongan Harta Alih Rampasan Sitaan serta Prosedur Pindah Milik Pegangan. Lawatan ini diketuai oleh Puan Yusniza Jasmin Binti Yaacub, Penolong Pegawai Penilaian.
Sesi ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan serta memperkukuh prosedur kerja khususnya dalam aspek penguatkuasaan dan kutipan tunggakan cukai taksiran, sitaan, lelongan harta alih dan proses pindah milik pegangan. Dalam masa yang sama, MPLBP turut diberikan pendedahan menyeluruh mengenai perincian aliran kerja, cabaran lapangan serta kaedah penyelarasan antara jabatan yang diamalkan oleh MPS.
Lawatan ini berakhir dengan sesi soal jawab, membuka peluang kepada MPLBP untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan proses kerja sebenar di MPS.