Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menerima kunjungan rasmi daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi sesi Lawatan Penanda Aras Berkaitan Pelaksanaan Dashboard Jabatan Audit Dalam MPS.
Delegasi MPHTJ telah diketuai oleh YBrs. Puan Johana binti Jauhari, Ketua Unit Audit Dalam MPHTJ dan disambut oleh YBrs. Puan Norhayati binti Ahmad, Pengarah Jabatan Audit Dalam MPS.
Lawatan ini bertujuan untuk meneliti pelaksanaan Dashboard Jabatan Audit Dalam MPS yang dibangunkan bagi memantau status tindakan dan maklum balas terhadap penemuan audit. Selain itu, sesi ini turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan fungsi audit dalaman, termasuk aspek pengurusan proses kerja, penggunaan sistem audit, kaedah pengauditan, penyediaan laporan audit dan pelaksanaan audit susulan.
Perkongsian ilmu dan pengalaman dalam lawatan penanda aras ini diharapkan dapat menyumbang kepada pemantapan tadbir urus, peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan integriti dalam pengurusan pihak berkuasa tempatan.