Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sg. Tua telah menerima lawatan daripada delegasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diketuai oleh Encik Abdul Razak bin Razali dari Bait Al Mawaddah, Pusat Jagaan Warga Emas Lembaga Zakat Selangor.
Lawatan ini bertujuan meninjau pengoperasian dan aktiviti harian PAWE Sg. Tua MPS sebagai rujukan bagi perancangan penubuhan Pusat Jagaan Harian 𝘿𝙖𝙮𝙘𝙖𝙧𝙚 warga emas oleh pihak LZS. Penerangan berkaitan pengoperasian, program serta aktiviti yang dijalankan di PAWE Sg. Tua telah disampaikan oleh YBrs. Encik Ahmad Fauzi bin Ishak, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, MPS.
Pusat 𝘿𝙖𝙮𝙘𝙖𝙧𝙚 tersebut dirancang bagi menyediakan ruang penjagaan dan aktiviti harian yang bermanfaat kepada warga emas, di samping membantu meningkatkan kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial mereka.
Pihak LZS turut menyatakan hasrat untuk membawa penghuni Bait Al Mawaddah, Pusat Jagaan Warga Emas Lembaga Zakat Selangor ke PAWE Sg. Tua bagi menyertai program dan aktiviti yang dianjurkan.
Secara keseluruhannya, lawatan ini berjalan lancar dan diharapkan hubungan kerjasama antara PAWE Sg. Tua dan Lembaga Zakat Selangor dapat diteruskan demi kesejahteraan warga emas.