Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melalui Jabatan Audit Dalam telah menganjurkan Kursus Revolusi Artificial Intelligence (AI) Dalam Pengauditan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertempat di Swiss Garden Hotel & Residences, Genting Highlands, Pahang. Kursus seumpama ini julung kali diadakan dan terbuka kepada kakitangan Unit Audit Dalam daripada semua PBT di seluruh Malaysia.
Seramai 49 orang peserta yang mewakili 26 PBT seluruh negara telah menyertai kursus ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Az’har bin Samsuri, Timbalan Yang Dipertua MPS.
Tiga orang penceramah telah dijemput bagi berkongsi ilmu dan kepakaran dalam bidang AI, iaitu Tuan Ts. Dr. Mariayee Doraisamy, Puan Siti Nadiah Alsadat binti Shukkran Hilmi dan Puan Farah Ain binti Mohd Tajudin yang merupakan perunding latihan daripada Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Pembangunan Teknologi (IMATEC), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penjawat awam, khususnya juruaudit di PBT mengenai konsep dan aplikasi asas AI dalam meningkatkan kecekapan pelaksanaan tugasan pengauditan. Selain itu, kursus ini turut memberi penekanan kepada penggunaan pelbagai AI tools bagi memperkasakan proses kerja audit secara lebih pantas, tepat dan berimpak, di samping membudayakan amalan kerja digital yang selaras dengan Dasar Transformasi Digital Sektor Awam serta inisiatif MyDigital.
Melalui penganjuran kursus ini, MPS berharap segala perkongsian ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam usaha memperkukuh fungsi Unit Audit Dalam, meningkatkan integriti penyampaian perkhidmatan awam serta memacu transformasi digital dalam sektor kerajaan tempatan secara lebih progresif dan berdaya saing.