Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terus komited dalam memperkukuh nilai integriti dan motivasi dalam kalangan kakitangannya melalui penganjuran Program Ceramah Motivasi bertajuk “Kerja, Ibadah & Keberkatan” yang berlangsung di Lobi Menara MPS.
Program anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) MPS ini menampilkan penceramah jemputan, Encik Syamsul Amri atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat, yang berkongsi pandangan serta inspirasi berkaitan kepentingan menghubungkan pekerjaan seharian dengan nilai ibadah dan keberkatan dalam kehidupan.
Turut hadir pada majlis ini ialah Tuan Haji Az’har bin Samsuri; Timbalan Yang Dipertua MPS dan Tuan LAr. Mokhtar Affandi bin Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Landskap merangkap Pengerusi Akrab.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus menyuntik semangat positif dalam kalangan kakitangan MPS, seterusnya mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.