Ceramah Kesihatan Mental dan Keluarga Bahagia anjuran ANULAE Cawangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah diadakan di Dewan Keraian, Menara MPS.
Sesi ceramah telah disampaikan oleh Puan Faridah binti Abdul Jalil @ Abas, Penolong Setiausaha (Psikologi 1) dan dibantu oleh Puan Norhayati binti Akhiad dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (Psikologi 1), SUK Selangor. Turut hadir ialah Puan Ruzani binti Sohot Pengerusi ANULAE Cawangan MPS bersama Ahli Jawatankuasa ANULAE Cawangan MPS.
Seramai 100 kakitangan MPS telah menyertai program ini yang bertujuan meningkatkan kesedaran serta motivasi dalam pengurusan kesihatan mental, di samping memperkukuh kefahaman berkaitan kepentingan keseimbangan emosi dan kesejahteraan diri. Program ini juga memberi penekanan terhadap pembentukan institusi keluarga yang harmoni, sekali gus menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih positif dan produktif.
Semoga usaha ini terus memberi manfaat kepada seluruh warga kerja MPS serta menjadi pemangkin kepada peningkatan kesejahteraan mental dan keharmonian keluarga. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi melahirkan warga kerja yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan berkualiti tinggi.