MENU
 

Program Gua Damai International Base Jump 2019 telah dianjurkan oleh MPS dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN),Tourism Malaysia, Tourism Selangor, Wira Adventure Consultant dan Majlis Perwakilan Penduduk Kampung (MPPK) di Taman Ekstrem Wira Damai untuk kali ke-12 pada sekian kalinya.

Perasmian program ini telah diadakan pada 15 September 2019 oleh Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor, Tuan Hj Amirudin bin Shari. Turut hadir sama dalam program ini adalah Yang Berhormat Datuk Abd Rashid bin Asari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Dato' Johari Bin Ahmad,Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato' Amirul Azizan bin Abdul Rahim, Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Pegawai Tourism Malaysia, Pegawai Tourism Selangor, Wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTac) Negeri Selangor, Ahli-Ahli Majlis MPS dan para pengarah MPS.

Siri terjunan pada kali ini telah disertai seramai 24 orang peserta daripada 8 buah negara yang menyertai terjunan secara bebas dari platform setinggi 96 meter dari Puncak Gua Damai yang dimulakan seawal jam 6.45 pagi. Pada tahun ini sebanyak 8 buah negara telah terlibat iaitu daripada Malaysia, Indonesia, Poland, New Zealand, Estonia, Australian, Amerika Syarikat, dan Belanda.

Program International Base Jump ini adalah merupakan siri terjunan selama tiga hari di setiap lokasi yang telah dimulakan di Menara Alor Setar pada 11 September 2019 dan diteruskan di Taman Ekstrem Gua Damai pada 15 September 2019 seterusnya ke Sibu pada 19 September 2019 dan akan berakhir di Menara Kuala Lumpur pada 26 September 2019.

Sebagai usaha untuk menjadikan Taman Ekstrem Gua Damai sebagai kawasan aktiviti ekstrem, MPS telah memastikan kemudahan infrastruktur telah ditingkatkan untuk kemudahan peserta. Pada tahun ini, sebanyak RM 100 ribu telah dibelanjakan untuk penambahbaikan infrastruktur padang dan kawasan sekitarnya oleh MPS melalui UPEN. MPS juga turut merancang untuk penambahbaikan platform terjunan di masa hadapan.

Diharapkan melalui program sukan ekstrem sebegini dapat terus memperkenalkan Taman Ekstrem Gua Damai ke mata dunia.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Landskap MPS di talian 03-6126 6016 atau layari www.mps.gov.my.

 

Gua Damai International B.A.S.E Jump 2019

 

Gua Damai International B.A.S.E Jump 2019