MENU
 

Sepanjang pemantauan yang dijalankan dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) 3.0 dilaksanakan, pihak MPS mendapati keadaan di kawasan tumpuan orang ramai adalah terkawal. 

Sehingga semalam, MPS telah melakukan pemeriksaan ke atas lebih 63 premis dan penjaja di seluruh kawasan pentadbiran Selayang dan mengeluarkan 9 amaran lisan serta 1 notis kompaun. Sepanjang pemeriksaan dijalankan, anggota MPS telah membuat semakan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP 3.0 bagi memastikan para pengunjung mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, pemeriksaan suhu badan serta penggunan kad kemasukan pengunjung semasa memasuki premis. Selain itu, pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan tiada laluan tikus digunakan dan kawalan jumlah kemasukan pengunjung juga turut dilakukan terutamanya di pasar-pasar awam. 

Pihak MPS juga ingin menyeru kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan  dan hanya keluar untuk urusan penting sahaja sepanjang tempoh ini. Individu yang gagal untuk mematuhi PKP 3.0 boleh dikompaun di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan individu yang ingkar untuk mendaftar melalui aplikasi MySejahtera semasa mengunjungi premis juga akan dikompaun di bawah kesalahan Akta 342. 

Untuk sebarang pertanyaan ataupun aduan, orang ramai boleh menghubungi talian kaunter aduan MPS yang beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di hotline 03-61389898  atau talian bebas tol di 1800-222-677. Orang ramai juga boleh merujuk laman sosial MPS untuk sebarang pengumuman terkini berkaitan MPS.