MENU
 

 

   

Kompleks Batu Caves adalah batu kapur ikonik di Semenanjung Malaysia. Ianya terkenal secara global kerana biodiversitinya yang unik di dalam gua dan keseluruhan bukit. Selain itu, ia juga turut terkenal dengan perayaan Thaipusam, budaya, dan nilai estetiknya. Semasa perayaan Thaipusam pada tahun lalu, Batu Caves mendapat kunjungan melebihi sejuta orang pelawat. Perkara yang mengagumkan ini memainkan peranan penting dalam pelancongan Malaysia kerana pelancong tempatan dan asing yang melawat Batu Caves juga turut tidak melepaskan peluang melawat gua-gua yang terdapat di Batu Caves.

Walaupun rekod daripada kajian yang lalu mencatatkan kepelbagaian biodiversiti yang tinggi di Batu Caves, namun tiada maklumat terkini yang holistik berkenaan alam semulajadi, paleontologi dan geologi di Batu Caves. Mengikut catatan yang telah diterbitkan, sekurang-kurangnya terdapat 269 spesies tumbuhtumbuhan vaskular telah direkodkan dari Batu Caves yang mewakili kira-kira 22% daripada flora batu kapur di Semenanjung Malaysia. Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya 250 spesies fauna yang hidup di dalam gua termasuk labah - labah ‘trapdoor’ yang amat terancam tinggal di Batu Caves. Antara lain, terdapat beribu – ribu individu kelawar yang terdiri daripada sekurang – kurangnya 10 peratus spesies kelawar yang terdapat di Malaysia bersarang di Batu Caves dan penemuan baru turut merekodkan kewujudan spesies tokek yang hanya boleh dijumpai di Batu Caves. Perkhidmatan ekologi yang disediakan di Batu Caves mempunyai kepentingan yang signifikan untuk dipelihara. Kelawar-kelawar dari Batu Caves misalnya adalah merupakan agen pendebunga dan penyebar biji benih yang penting untuk tumbuh-tumbuhan paya bakau seperti pokok berembang, pokok ara di hutan dan pokok buah-buahan seperti durian, pisang, manga, jambu laut dan sebagainya. Kelawar ini mampu terbang sehingga lebih daripada 50 km dan menjadi agen pendebunga dan penyebar biji benih yang efektif bagi pokok paya bakau di Selangor. Batu Caves turut dikenalpasti sebagai tapak kajian pertama penemuan fosil gigi orang utan di Semenanjung Malaysia yang berusia kira – kira 33 ribu hingga 66 ribu tahun. Di dalam sedimen gua yang sama, gigi tikus yang telah pupus juga telah ditemui.

Batu yang membentuk Batu Caves adalah berusia sekitar 400 juta tahun dan melalui proses yang panjang untuk membentuk muka bumi yang kita lihat sekarang. Kewujudan bukit bertebing tinggi dan tegak yang unik ini seakan-akan seperti oasis yang memelihara hidupan haiwan dan tumbuhan. Gua-gua di dalamnya berumur sekitar jutaan tahun mengekalkan tinggalan sejarah seperti fosil-fosil. Oleh yang demikian, pihak Persatuan Pemuliharaan Gua dan Kars Malaysia (MCKC) mengambil initiaitif untuk mengadakan Ekspedisi Saintifik Batu Caves dari Januari 2019 hingga Disember 2019 untuk mengemaskini senarai biodiversiti yang terdapat di Batu Caves, memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai fungsi biodiversiti batu kapur, dan memberi kesedaran tentang pentingnya memelihara dan memulihara nilai sejarah, budaya dan biodiversiti, paleontologi dan geologi yang tersimpan di Batu Caves untuk generasi akan datang.

Ekspedisi Saintifik Batu Caves ini telah disertai oleh penyelidik daripada pelbagai bidang kepakaran dari universiti awam, universiti swasta, instituisi penyelidikan dan badan bukan kerajaan yang kebanyakkannya berada di Selangor. Ekspedisi saintifik ini disokong oleh Majlis Perbandaran Selayang dan mendapat dana utama program daripada kerajaan negeri Selangor di bawah Exco Alam Sekitar, Y.B Hee Loy Sian dan individu perseorangan, Encik Tan Jiew Hoe. Sekiranya pembentukan batu kapur dan ekosistem Batu Caves ingin dipelihara, perlu ada lebih banyak kesedaran tentang kepentingan pemuliharaannya di kalangan orang awam dan strategi jangka panjang untuk pemuliharaannya.

 

Info di atas dipetik dari Malaysian Cave and Karst Conservancy

Info lanjut : Laman sosial media  Facebook: https://www.facebook.com/Friends-of-Batu-Caves-852286271610730/ dan https://www.facebook.com/Malaysian-Cave-and-Karst-Conservancy-553251854864153/ Instagram : https://www.instagram.com/friendsofbatucaves/ dan https://www.instagram.com/malaysiancavekarst/

Mesyuarat Kemajuan Ekspedisi Saintifik Batu Caves telah diadakan setiap dua bulan sekali dan risalah (newsletter) telah diterbitkan untuk merumuskan hasil kemajuan kajian dan aktiviti yang telah dijalankan. Risalah yang telah diterbitkan boleh di capai dipautan dibawah https://www.mckc.org.my/post/batu-cave-scientific-expedition-news-letter

 

  Batu Caves Batu Caves