Kata-kata Aluan YDP Kata-kata Aluan YDP

mail   Mail       Cetak
 

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Dipanjatkan kesyukuran ke Hadrat Ilahi kerana telah memberikan peluang untuk berada bersama dalam ruangan ini.

Pertamanya, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin bin Ali, Dato' Menteri Besar Selangor yang telah melantik dan memberikan kepercayaan serta peluang untuk saya memikul amanah menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Selayang. Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Hj. Mohammed Khusrin bin Hj. Munawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Segala pelan perancangan yang akan saya lakukan berpandukan kepada Visi kerajaan negeri Selangor iaitu "menjadikan negeri Selangor sebuah negeri yang idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan". Saya juga ingin melihat penumpuan perubahan atau penambahbaikan terhadap dasar-dasar MPS yang sedia ada bagi memberikan kualiti terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Dalam menumpukan kepada sumber-sumber hasil kepada MPS, kita tidak seharusnya melupakan tanggungjawab selaku pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab kepada pembayar cukai. Majlis perlu peka kepada masalah dan keperluan masyarakat terutama warga Selayang. Pendapatan yang diperoleh perlu dibelanjakan semula kepada masyarakat secara berhemat.

Kita semua perlu komited, bertanggungjawab dan bertindak cepat dalam melaksanakan tugas. Penerapan pengetahuan keagamaan dan nilai-nilai murni akan mampu mencegah kepada gejala rasuah. Selain itu, proses kerja perlu juga inovatif dan produktif melalui pelaksanaan perubahan atau transformasi jabatan-jabatan yang dilakukan untuk menuju ke arah yang lebih baik.

Kita hendaklah sentiasa membentuk jalinan kolaborasi antara semua pihak. Saya mengharapkan sokongan Ahli Majlis, Pengurusan dan pegawai dalam membantu saya mentadbir dan menguruskan MPS. Semangat kerja berpasukan amat penting bagi merealisasikan segala perancangan dan pembangunan berkualiti yang dapat memberi manfaat dan impak besar kepada warga Selayang.

Saya sekali lagi berharap agar semua warga Selayang dapat bersama-sama dengan saya untuk kita sama-sama meningkatkan pembangunan kawasan perbandaran Selayang demi keharmonian dan kesejahteraan kita bersama.

Sekian, terima kasih

Tuan Suliman bin Abd. Rahman AMS, PPT
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Selayang