MENU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bertemu lagi kita di ruangan ini.

 

1. Majlis Lafaz Akuan Terima Jawatan Ahli Majlis MPS   

 

Alhamdullilah selesai sudah majlis lafaz akuan terima jawatan Ahli Majlis MPS yang telah diadakan pada 27 Julai 2018 yang lalu. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Ahli-Ahli Majlis yang yang telah dipilih semula dan juga lantikan baru oleh parti dan kerajaan untuk memikul amanah sebagai Ahli Majlis, MPS bagi penggal 2018-2020 ini. Dikesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Ahli Majlis yang telah memberi komitmen yang tinggi kepada MPS sebelum ini. Sesungguhnya jasa serta sumbangan mereka amat saya hargai.

Untuk makluman semua, lantikan Ahli Majlis bagi penggal 2018-2020 ini menyaksikan 6 Ahli Majlis lantikan semula dan 17 muka baru dan satu slot belum diisi.  Dari Jumlah tersebut, 11 adalah dari parti PKR, 5 dari Parti DAP, 3 dari Parti AMANAH dan 4 dari Parti PPBM.

Penggal kali ini juga menyaksikan pelantikan seramai 7 orang Ahli Majlis Wanita berbanding 3 pada penggal yang lalu. Saya harap satu lagi slot yang belum diisi akan diisi oleh kaum wanita sekaligus memenuhi aspirasi kerajaan untuk wanita memenuhi 30% kuota di peringkat pembuat dasar.

Sebagai Ahli Majlis, adalah amat penting untuk Ahli Majlis semua mewujudkan kerjasama terbaik dengan pengarah serta pegawai di MPS sekaligus dapat melancarkan tugas dan memantapkan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. Ahli-ahli Majlis juga perlu memahami matlamat dan rasional sesuatu tindakan yang diambil oleh pengarah mahupun pegawai untuk mengelakan sebarang percanggahan tindakan di antara Ahli Majlis dan PBT.

Bagi memastikan perkara ini, Bahagian Urusetia MPS akan mengaturkan dengan segera satu kursus induksi  agar ahli-ahli majlis dapat memahami dengan lebih lanjut berkaitan fungsi MPS sebagai PBT dan juga fungsi serta tanggungjawab setiap jabatan di MPS.

Menyentuh tentang peranan dan fungsi Ahli Majlis, sebagai wakil masyarakat, pelbagai program dan aktiviti boleh mula dilaksanakan  dengan kerjasama MPS yang saya percaya akan menjadi “jambatan penghubung ” antara kerajaan dan rakyat.  Selain komitmen, usaha untuk menyantuni masyarakat juga amat penting supaya Ahli Majlis bersama pentadbiran PBT dipandang tinggi dan dihargai oleh masyarakat.

 

2. Prestasi Semasa Kutipan Cukai Taksiran

Untuk makluman, sehingga 30 Jun 2018, MPS berjaya mengutip cukai taksiran semasa 2018 sebanyak RM50.31 juta (98.70%) daripada RM50.98 juta. Untuk kutipan tunggakan cukai taksiran pula, sebanyak RM4.9 juta (44.48%) berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan keseluruhan sebanyak RM10.90 juta. MPS telah mengeluarkan waran tahanan bagi pemilik yang mempunyai tunggakan RM200.00 ke atas bermula 1 April 2018. Sebanyak 21,207 keping waran telah dikeluarkan dan dihantar sehingga 30 Jun 2017.
 

Bagi pemilik / penduduk yang masih gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran selepas 7 hari waran diserahkan, MPS akan melaksanakan tindakan sitaan apa jua harta alih di dalam premis tersebut dan operasi ini akan dijalankan setiap minggu. Di dalam operasi ini, MPS akan menyita harta alih di dalam premis yang menyamai jumlah tunggakan cukai taksiran premis tersebut. Manakala premis yang tidak diduduki, MPS akan mengambil tindakan melelong premis tersebut bagi menjelaskan tunggakan cukai taksiran selaras dengan Seksyen 151 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
 

Orang ramai adalah diingatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai taksiran bagi mengelakkan tindakan sitaan dan lelongan diambil ke atas harta alih dan premis masing-masing. Kepada pemilik yang ingin menjelaskan tunggakan cukai taksiran, pemilik layak diberi pertimbangan pengurangan waran tahanan bagi bayaran secara penuh atau ansuran. Maklumat mengenai kelayakan pengurangan boleh diperolehi di kaunter bayaran cukai taksiran MPS.

 

3. Sambutan Hari Raya Aidiladha

Akhir sekali, Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada 22 Haribulan Ogos ini. Kepada semua warga Selayang  yang akan menyempurnakan ibadah haji pada tahun ini, saya ucapkan semoga perjalanan anda dipermudahkan serta mendapat haji yang mambrur. InsyaAllah.

Dengan kata-kata itu, saya mengakhiri ucapan saya dengan wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.  

Tuan Suliman bin Abd. Rahman AMS, PPT
Yang Dipertua,
Majlis Perbandaran Selayang

 

*Perutusan ini telah diubahsuai dari ucapan Tuan Yang diPertua di mesyuarat penuh MPS bil 7/2018.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 10 Disember 2018 - 9:35am